'Terima kasih GPS' ucap Willie tapi 'perlu bincang dulu'



(UtusanBorneo) Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Willie Mongin (gambar) hanya akan memilih parti untuk disertainya setelah mendapat nasihat dan rundingan bersama penyokong serta ketua masyarakat di kawasannya.

Menurutnya beliau yang masih lagi mengekalkan status quo sebagai blok bebas, perlu mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu kerana apa yang penting ialah kebaikan masyarakat.
"Saya berterima kasih kepada GPS (Gabungan Parti Sarawak), sebab mungkin mereka melihat kepimpinan kita dan cara kita bekerja," katanya pada sidang media selepas menyerahkan cek Pusat Khidmat Ahli Parlimen Puncak Borneo di sini, hari ini.
Beliau berkata segala keputusan hanya akan diumumkan sebaik sahaja tiba masanya.
"Ini kerana apa yang pasti ia bukan untuk diri saya sendiri tetapi masyarakat secara keseluruhan, maka apa yang baik untuk rakyat adalah baik untuk saya," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata kerajaan persekutuan kini membolehkan Perikatan Nasional (PN) dan GPS bekerjasama, kerana berada dalam kerajaan pusat.
Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung 11 ahli parlimen bekas PKR, termasuk Willie telah menyertai Bersatu, baru-baru ini, beliau tidak mahu mengulas lanjut.
"Ia mungkin ada betul dan mungkin juga ada salahnya, saya tidak mahu mengulas lanjut."
Dalam pada itu semalam, selain Willie, Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How dialukan-alukan menyertai GPS jika mereka berminat.
Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol yang berkata demikian bagaimanapun menambah, GPS sehingga kini tidak ada membuat apa-apa tawaran kepada ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan.
Sementara itu mengenai tiada tawaran kepada ADUN Ba' Kelalan, Baru Bian,Willie berkata, beliau pasti Baru tahu hala tuju atau apa yang mahu dilakukan kepada rakyat Sarawak.
Katanya adalah tidak adil untuk beliau mewakili Baru mengulas mengenai perkara berkenaan.
"Beliau menjadi ketua saya selama dua dekad, saya tahu beliau dan semangat untuk rakyat Sarawak sentiasa ada pada dirinya," katanya.

"Saya menerima baik cadangan pelawaan itu tetapi setakat ini saya masih pada status quo saya. Saya perlu berbincang dengan penyokong, ketua kaum, ketua agama supaya mereka memberi pandangan sebelum saya membuat keputusan.

Comments